Tinggal kurang 24 jam sahaja lagi sebelum diri ini berangkat pulang ke "kampung halaman" Madinah al Munawwarah. Syukur, Allah sampaikan juga hajat sendiri yang mahu segera pulang berkhidmat sepenuh masa untuk keluarga saat Allah ambil Abi dari kami, menampung segala kekurangan keluarga di rumah sepanjang kepulangan dan keberadaanku di bumi Malaysia ini. Mudah mudahan mana yang kurang Allah ampunkan, umi dan adik adik maafkan. Biasalah manusia, tidak akan terlepas dari sifat kekurangan dan serba lemah dan khilaf.
Kepulangan sempena cuti Aidilfitri kali ini mengajar aku banyak perkara. Antaranya, aku belajar tentang gambaran awal bagaimana permulaan rasa hidup dan cabaran sebagai seorang graduan mahasiswa universiti. Mengajar aku permulaan gambaran bagaimana rasanya bila Allah tamatkan sekejap peluang dan nikmat menjadi penduduk Madinah Mengajar bagaimana memandu keluarga, menjadi tempat bersandar dalam keluarga dan banyak lagi pengalaman dan pengajaran hidup yang tidak diajar di kelas kelas atau di universiti.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون
“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.”
(Az –Dzariyat: 56 )
Inilah tujuan hidup kita. Mengabdi dan patuh dengan suruhan dan larangan Allah. Hidup kita untuk ibadah. Bukan hidup untuk ibadah tapi hidup kita itu ibadah dengan menjadi hamba yang patuh dengan setiap peraturan dan sempadan yang telah Allah tetapkan. Dari hidup kita Allah beri ujian kepada manusia, dari ujian keimanan kepadaNya sama ada kamu mahu beriman atau tidak, hinggalah kepada ujian hidup yang lain lainnya.
Kemudian, pelajaran terpenting seterusnya ialah untuk menghadapi dan mengatasi ujian dalam hidup ini dengan rasa syukur dan sabar. Dua perkara ini merupakan formula untuk menjadi seorang manusia yang berjaya dalam hidupnya.
Andaikan sahaja tujuan hidup kita itu seperti satu destinasi yang kita nak tuju. Hidup dan umur kita adalah jalanraya yang menuju ke destinasi. Sabar dan syukur pula merupakan kenderaan dan minyak petrol untuk kita sampai ke sana. Lalu, kedua duanya perlu untuk kita manusia ini sampai dengan tempat yang dituju.
Lalu begitulah sunnah kehidupan manusia ini. Jalan hidupnya Allah tetapkan penuh dengan ujian. Hidupnya sahaja allah ibaratkan sebagai ujian. Barangsiapa yang bersabar, mahupun bersyukur, mereka berjaya.
Ujian setiap manusia berbeza beza mengikut kemampuan masing masing. Kerana Allah tidak zalim. Dia tidak membebankan hambaNya sesuatu yang diluar kemampuan. Ada orang diuji dengan kehilangan harta benda, gagal dalam pelajaran, gagal dalam perniagaan atau bercucuk tanam, kehilangan orang yang tersayang, semuanya itu kerana Allah yang Maha Mengetahui itu tahu mereka ini teruji dengan ujian kesusahan tersebut dan mampu untuk hadapi dan bersabar dengannya. Setengah manusia yang lainnya pula, Allah tahu mereka teruji dengan kekayaan, penambahan harta anak pinak lalu Allah beri mereka segalanya apa mereka mahu bersyukur atau terus kufur bongkak dan sombong dengannya? Masing masing teruji dengan ujian tersendiri dan Allah tahu mereka sebenarnya mampu untuk mengatasi ujian tersebut.
Namun dalam ujian tersebut ada-lah yang lulus dan ada-lah yang gagal. Ujian tuhan ini banyak peringkatnya mengikut kemampuan masing masing seperti yang disebut dalam ayat Quran,
لاَ يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلاَّ وُسْعَهَا
Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan batas kemampuannya
(Al Baqarah : 287)
Yang belum jumpa tuhan, mereka diuji apa mereka mahu beriman atau tidak pada Tuhan. Yang sudah beriman pula diuji bagaimana mereka mahu kekal beriman kepadaNya, mahukah mereka terus patuh dan berbuat segala perintah dan meninggal segala laranganNya? Biarpun mereka hilang segala galanya? Biar mereka diberi segala galanya?
Kembalilah kepada AlQuran saat kamu diuji. Lihat bagaimana cara yang Allah ajar jika kita diuji, dengar apa yang Allah janji buat mereka yang sabar dan berjaya ketika diuji, baca bagaimana umat terdahulu yang Allah uji kemudian diazab kerana gagal sebagai pedoman dan peringatan diri. Semuanya sudah lengkap di sana sebagai panduan kerana Allah sayangkan kita. Allah maha adil dan tidaklah azab seksa yang disediakan itu kerana Dia maha zalim walhal yang menzalimi itu adalah diri kita sendiri yang tidak mahu mengikut panduan dan jalan yang betul.
Semua ini tidak mampu sampai ke pengetahuan kita sekiranya kita tidak cuba memahami panduan yang telah Allah anugerahkan kepada kita ini. Membacanya sahaja tidak cukup akan tetapi pelajarilah dan renungilah setiap maksud dan maknanya. Mudah mudahan kita tergolong di dalam golongan yang diberi taufiq dan hidayah.
Semoga kita menjadi golongan yang berjaya dalam hidupnya. Sesuai dengan panduan dan garis yang telah Allah tunjukkan melalui kitab dan rasulNya. Mudah mudahan Allah ampunkan keterlanjuran dan kekurangan kita di saat kita hidup dan menghadapi ujian ini. Marilah susun kembali hidup kita mengejar sayang Allah, biar allah sayang dan kasih pada kita dengan melepasi ujian ujiannya mengikut kedua panduan yang Dia anugerahkan iaitu Quran dan Sunnah.
Sekian dahulu coretan kali ini. Mudah mudahan kita jumpa lagi. Selamat tinggal Malaysia, semoga semua baik baik sahaja, semoga semua Allah jaga.
Yang tidak sabar balik kampung,
SYA
Kampung Tasek
1122PM
:)
0 Komen:
Catat Ulasan
Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D