19 April 2014

Rintihan dan Penyesalan di Syurga

| |

Kembali menulis.

Segala puji kepada Allah diberi jua kesempatan masa untuk menulis untuk berkongsi sedikit buah yang bercambah dari ilmu yang dititip saban waktu. Sesungguhnya apabila berbicara soal masa, kebanyakan kita sering terlupa dan sering terlepas pandang untuk menteliti hikmah dan keajaiban di sebalik penciptaan masa. Hinggakan masa disebut di dalam al quran dan sering diberi peringatan oleh junjungan Rasulullah SAW.




Saya mencuri kesempatan ini untuk berkongsi sedikit kesimpulan sepanjang menghadiri usrah mingguan yang dianjur oleh pihak Universiti. Sedikit sebanyak kami diceritakan tentang kelebihan masa. Apa yang terkandung di dalamnya? Kelebihan dan keistimewaan pada sudut manakah dari penciptaan masa hinggakan Allah SWT bersumpah dengannya di dalam AlQuran? Bahkan sering kita dengar banyak pepatah datang dari pelbagai negara dan dari segenap pelusuk berkenaan pentingnya penjagaan masa.


KELEBIHAN MASA

Ayuh renung sejenak, beberapa kelebihan, keajaiban makhluk yang bernama MASA ini. Sesungguhnya masa merupakan salah satu penciptaan yang sangat luar biasa. Menunujukkan keagungan dan kebesaran Allah. 

Antara kelebihan MASA, KEAGUNGAN, KEJAYAAN, KEBANGGAAN umat umat terdahulu hanya terhad untuk zaman mereka sahaja. Apabila berakhir atau terhapusnya kaum pada masa itu, maka tidak akan berulang kejayaan yang sama setelah berlalu masa itu kepada umat yang tinggal.



Piramid. :)

Beberapa contoh saya sertakan, penciptaan piramid yang agung di zaman Firaun masih belum terungkai pada zaman kini bagaimana untuk membina struktur yang sama dan seperti yang berjaya didirikan pada zaman meraka pada dulu kalanya. Begitu jua dengan penciptaan Colloseum, bagaimana stadium itu mampu memantulkan suara daripada tengah tengah gelanggang bulat itu, suara yang berucap mampu dipantulkan sehingga ke hujung stadium.

Colloseum

Walau di zaman kita yang kita banggakan serba canggih dan moden masih belum mampu merungkai misteri dan rahsia bagaimana ciptaan ciptaan dan kejayaan agaung mereka terbina pada zaman itu. Bahkan, banyak lagi sejarah tinggalan kaum dan umat zaman terdahulu yang mencapai kemuncak kejayaan mereka masih menggambarkan tanda tanya di kalangan para pakar sejarawan dan ahli sains

AWAN & MASA

Satu perumpamaan yang dikemukakan saya kira agak menarik untuk direnungkan,

Cepatnya berlalu dan berakhirnya masa itu ibarat seperti berlalunya awan dan ia pergi seperti perginya awan.

Bagaimana kaitan awan dan MASA daripada pepatah ini? Dongak ke atas dan pandanglah ke arah awan yang berarak. Saat kita memandang ia ketika mana kedua tapak kaki kita terpasak di atas bumi, kita akan nampak perlahan pergerakan awan tersebut, bukan? Namun pada hakikat dan realiti, sekiranya kita mampu menunggang awan tersebut, ia bergerak sangat laju. Begitu jua hal keadaannya pada MASA. Pada suatu sudut kita merasa pergerakan suatu tempoh masa seakan lambat untuk berlalu. Hinggalah apabila masa itu berlalu, maka barulah disedari betapa cepatnya tempoh yang dirasakan lambat itu.

Jadi tidak pelik saya kira andai waktu persekolahan selama 6 tahun dirasakan berlalu dengan sekelip mata. Sedangkan saat mula mula mendaftar, tempoh 6 tahun tersebut dirasakan sangat lama dan memenatkan untuk dilalui.

PERGI TAK KEMBALI

Apabila berlalunya saat ini, maka tiadalah lagi saat itu. Apabila berlalunya jam dan minit ini, maka tiadalah pula berulang seperti jam dan minit itu. Apabila berlalunya hari, minggu dan tahun ini, maka tiadalah pula kembali semula hari, minggu dan tahun itu.

Imam Hassan Al Basri rahimahullah pernah berkata,

Tiadalah datang suatu hari itu di saat terbitnya fajar melainkan dia menyeru, Wahai sekelian anak Adam! Aku (masa) ini ciptaan yang baru. Dan di atas aku, setiap kelakuan kamu ada penyaksian. Maka manfaatkanlah aku kerana sekiranya aku telah berlalu, tidaklah aku kembali sehingga hari kiamat!

TIDAK MAMPU DIBELI

Anda jutawan dunia. Hartawan yang paling kaya di dunia. Namun, tidak akan ada peluang dan tidak akan berguna sedikit pun duit dan harta kamu berguna untuk membeli masa. Masa sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Saat masa kematian dan ajal anda sampai tidak mungkin untuk anda membeli masa menambah masa hidup anda. Mustahil!
Saat anda sudah berumur dan tidak berdaya untuk melakukan beberapa pekerjaan, maka mustahil untuk anda membeli masa muda anda menambah kekuatan dan daya untuk bekerja.
Saat anda bersedih dengan perginya orang yang tersayang, maka tiada satu jalan untuk anda membeli masa kebersamaan anda dengan kesayangan anda itu.


PENYESALAN MASUK SYURGA 

Setelah menteliti beberapa kelebihan dan keajaiban masa, pernah anda terfikir akan ada rintihan dan penyesalan di syurga kelak?

Bagaimana?

Pernahkah terfikir, sepanjang puluhan tahun kita hidup hingga saat kita bernafas hari ini, amal ibadat kita, taqwa kita, taat kita kepada Allah sudah memadaikah untuk mencapai redha Allah kepada kita untuk masuk ke SyurgaNya kelak?

Lagi pula, pernahkah anda terfikir andai sekiranya kita hanya ditempatkan di syurga yang paling rendah darjatnya, mampukah lagi kita mengulangi masa hidup kita di dunia kelak untuk menambah amalan dan redha ALLAH untuk mencapai syurga yang tertinggi?

Taqwa kita, amal ibadat kita pada semalam hari ini dan hingga ke nafas yang terakhir nanti sahajalah menentukan di mana tempat kita nanti. Kelak, apabila timbul penyesalan, maka itulah sebesar besar penyesalan. Kerana pada waktu itu, tidak akan kembali waktu hidup kita di dunia yang telah berlalu.

Bukan sahaja di Syurga, malah di saat kebangkitan manusia setelah berakhirnya kehidupan di dunia ini, penyesalan dan rintihan buat bakal bakal ahli neraka jua akan jelas sebagaimana yang Allah telah gambarkan di dalam Al Quran dan sebagaimana Rasulullah SAW ceritakan.


Firman Allah SWT,
Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.

SURAH IBRAHIM : 107

Perhatikan bagaimana terdesaknya ahli neraka meminta merayu kepada Allah di hari pembalasan kelak supaya mereka dikembalikan mereka ke dunia, kembali kepada masa hidup mereka di dunia untuk mengelak daripada azab ALLAH yang pedih. 


Sebelum terlambat, selagi kita masih diberi peluang oleh ALLAH yang sentiasa menunggu taubat hamba hambaNya, selagi mampu untuk patah balik kembali ke pangkal jalan, ayuh! Sama sama kita pohon supaya diberi kekuatan iman dan mujahadah dalam mencari dan menggapai redhaNya. Manfaatkan masa hidup kita yang ALLAH beri peluang ini sebaiknya.

Apakah anda yakin dengan masa yang berlalu saban hari dihabiskan dengan Facebook, Twitter, melepak, makan, minum, tidur seperti yang telah berlalu sebelumnya sudah cukup untuk menghindarkan kita dari azab ALLAH nanti?

Mudah mudahan dengan rahmat dan redha ALLAH SWT dengan patuh kita pada perintah dan meninggal segala laranganNya, taat kita pada setiap suruhan dan jalan ke Syurga seperti yang ditunjukkan oleh RasulNya, kita memohon kurniaan terbesar dan abadi di akhirat kelak untuk berkampung bersama sama di syurga yang tertinggi supaya tidaklah kita punya penyesalan serugi rugi penyesalan. 

Semoga. :)

SYA
Madinah AlMunawwarah, KSA
0302
19 APRIL 2014

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D