14 Julai 2019

Wasiat Abi Untuk Anakandanya

| |

Satu hari, Umi tanyakan pada anak sulungnya ini, apakah surah dan ayat Abi selalu baca dalam solatnya tatkala dia menjadi imam solat.  Sewaktu Abi masih hidup, selalu juga saya solat diimamkan oleh Abi. Tidak kira sama ada di masjid kariah dekat rumah, ataupun mengikut Abi menunaikan jemputan kuliah kuliahnya di bermacam masjid dan surau. Abi-lah yang menjadi imamnya. 

Pertanyaan Umi membuatkan saya kembali memeriksa mushaf untuk mengenal pasti ayat dan surah yang selalu Abi bacakan di dalam solat yang dia imami. Ada beberapa surah yang Abi suka baca bila dia mengimami solat, antaranya surah Al Saff, Surah Luqman, Surah Az Zumar, dan Surah Al Burooj. 

Menariknyaa, setiap ayat dan surah dari Kalamullah yang Abi suka bacakan semuanya ayat berbentuk peringatan dan pesanan atau seruan. Misalnya dari surah Luqman, di sana ada kisah tentang hamba Allah yang soleh yang dikurniakan hikmah, Allah nukilkan pesanan Luqman kepada anaknya. Lalu bercucuranlah air mata ini tatkala memerhatikan ayat tersebut terasa seolah olah Abi mahu anak anaknya juga berpegang kepada nasihat ini sebagaimana Luqman menasihati dan berwasiat kepada anaknya.

Pernah Opah beritahu kami sewaktu dia menceritakan perihal pemergian Abi, Opah beritahu yang Abi tidak sempat tinggal pesan, wasiat atau apa apa untuk kami. Sewaktu itu, saya akur juga. Namun tak lama selepas itu, Subhanallah! Allah gerakkan hati Umi untuk bertanya dan gerakkan hati saya untuk mencari ini, jumpa-lah seolah olah satu wasiat atau pesanan dari Abi. Apakah wasiat dan peringatan yang lebih baik selain Al Quran? 

Allah berfirman, 

كَلَّآ إِنَّهُۥ تَذۡكِرَةٞ

Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);

فَمَن شَآءَ ذَكَرَهُۥ

Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) maka ambillah peringatan daripadanya.

وَمَا يَذۡكُرُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُۚ هُوَ أَهۡلُ ٱلتَّقۡوَىٰ وَأَهۡلُ ٱلۡمَغۡفِرَةِ

Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).

(Surah Al-Muddaththir, Ayah 54 - 56)

Jadi marilah kita hayati bersama pesanan Luqman kepada anaknya dari Surah Luqman ayat 13 hingga 19  mudah mudahan surah yang Abi gemar ulang di dalam solatnya ini dapat menjadi panduan bersama buat anak anak Abi khususnya dan buat semua umumnya. Awalnya Umi minta cerita hari tu tentang tafsir dan maksud ayat ini tetapi masa mengekang sehinggalah saya balik kembali ke Madinah semula. Jadi di kesempatan yang ada ini saya nukilkan di sini buat perkongsian bersama. 

Pesanan #1 :
Menyembah dan menghambakan diri hanya kepada ALLAH dan janganlah kamu syirikkanNya kerana ia adalah dosa yang paling besar. Kezaliman kamu yang paling dahsyat terhadap Allah. 

Allah berfirman, 

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَيَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberi nasihat kepada anaknya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".


Pesanan #2 :
Berbuat baiklah dan memuliakanlah Ummi/Ibu kerana susah payahnya mengandungkan kamu selama 9 bulan kemudian memelihara dan menjaga kamu bertahun tahun menahan kerenah ragam kamu. Ibu bersabar dengan memenuhi kemahuan dan kehendakmu biar kehendak sendiri dikorbankan. Syukurilah nikmat kurniaan seorang ibu kepada kamu dengan perintah Allah berbuat baik kepadanya. Lebih lebih lagi kalau pada sudut perspektif kami pula, Ummi lah yang banyak berseorangan menjaga kami adik beradik berbanding Abi kerana Abi kerap sibuk ke sana ke mari dengan tugasnya.

Berterima kasihlah kepada ibu dan bapa kalian dengan berbuat ihsan kepadanya, senangkan hatinya sebagaimana dia telah senangkan hatimu sewaktu kecil. Berbuat baiklah kepada ibu dan bapa kamu sekalipun jika mereka menyuruh kalian melakukan kemaksiatan dan kesyirikan, jasa mereka membesarkan kamu patut kamu balas dengan kemuliaan dan ihsan tanpa menyakiti mereka dan tanpa kamu taat dengan perintah maksiat itu. Bukanlah alasan untuk kamu sakiti mereka hanya kerana mereka melakukan kesilapan mahupun menyuruh kamu melakukan kemungkaran.

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan, kesakitan demi kesakitan, (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). 

وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukanKu sesuatu yang engkau tidak tahu sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan (tetaplah) bergaul dengan mereka di dunia dengan  baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang merujuk kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Pesanan #3 :
Selalulah berbuat baik walau sekecil biji sawi dan hindarilah keburukan walau sekecil sawi kerana semuanya Allah akan hitung di akhirat kelak walaupun kebaikan atau keburukan itu tersembunyi di mana mana ceruk langit mahupun di bumi, semuanya Allah akan hitung. Jangan memandang kebaikan pada kecil besarnya, tetapi buatlah kebaikan kerana ianya baik. Jangan meninggalkan keburukan kerana kecil besarnya, tetapi tinggalkan keburukan kerana ianya buruk.

يَٰبُنَيَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثۡقَالَ حَبَّةٖ مِّنۡ خَرۡدَلٖ فَتَكُن فِي صَخۡرَةٍ أَوۡ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ أَوۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ يَأۡتِ بِهَا ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٞ

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi

Pesanan #4 :
Jagalah solat dan dirikannya dengan sempurna segala rukunnya dan hak hak solat seperti di awal waktu dan tunaikannya dengan khusyuk. Kemudian, suruhlah orang di sekeliling kamu untuk berbuat baik dan tegahlah kemungkaran. Kemudian, bersabarlah di atas segala ujian yang menimpa kamu kerana sunnah kehidupan orang yang berazam hidupnya untuk Allah adalah dengan ujian dari Tuhan.

Solat merupakan kekuatan dan asas seorang daie dan pejuang. Sebelum mereka mengajak orang untuk amar makuf nahi mungkar, peganglah pada solat kamu tak kira pada solat yang wajib mahupun solat sunat seperti tahajjud dhuha dan solat sunat yang lain. Dan bentenglah diri kamu dengan sabar kerana akan ada ujian yang menantimu dalam menjalankan kerja Allah.

يَٰبُنَيَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah (orang sekelilingmu) berbuat kebaikan, serta laranglah (mereka) daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang (telah dan bakal) menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Pesanan #5 :
Janganlah kamu sombong wahai anak dan memandang mana mana manusia yang kamu jumpa dengan pandangan yang hina serta merasakan diri kamu lebih baik dari mereka kerana Allah sangat benci orang yang bersikap begini. 

وَلَا تُصَعِّرۡ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمۡشِ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالٖ فَخُورٖ

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.


Pesanan #6 :
Berlemah lembutlah dalam berbicara dan jagalah akhlak serta sentiasalah merendah diri. Jagalah tutur katamu dalam berbicara dan janganlah selalu mengeluarkan kata kata yang tidak enak didengar serta meninggikan suara seperti suara keldai yang paling hodoh bunyinya terjerit jerit. 

وَٱقۡصِدۡ فِي مَشۡيِكَ وَٱغۡضُضۡ مِن صَوۡتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلۡأَصۡوَٰتِ لَصَوۡتُ ٱلۡحَمِيرِ

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Demikianlah pesanan Luqman kepada anaknya tersayang dari surah Luqman yang Allah nukilkan di dalam kitabNya. Subhanallah! Pesanan yang merangkumi seluruh aspek muslim sejati dari sudut aqidah sehinggalah akhlak. Ternyata ada hikmahnya Allah gerakkan hati Abi untuk selalu bacakan surah ini dalam setiap solatnya. Dan sudah tentunya tiap kali diri ini membaca surah ini, saat membaca ayat ya bunayya ya bunayya (wahai anakku, wahai anakku) itu terasa seolah olah Abi-lah yang memberi nasihat kepada kami. 

-rahimahullah li abi wa 'aafahu-

Benarlah Quran itu syifa (penyembuh). Penyembuh kepada hati yang sakit merindu, peringatan buat orang beriman! Alhamdulillah!


SYA
0952AM
Madinah alMunawwarah

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D