7 Januari 2019

Travelog Bukit Uhud : Antara Saksi Cinta dan Perjuangan

| |

Alhamdulillah.


Selesai sahaja peperiksaan semester 7, maka bermulalah cuti semester yang pendek. Kira kira dalam 12 hari sebelum semester seterusnya bermula. Macam macamlah perancangan pelajar pelajar di sini mengisi cuti masing masing. Ada yang pulang ke Malaysia mengambil peluang ini meluangkan masa untuk ibu ayah dan anak isteri, ada yang ke luar negara berjalan melihat tempat orang dan ragam di sana mengambil pengalaman. Ada yang berjalan meninjau sekitar negara Arab Saudi yang serba luas ini.


Aku pula di awal cuti kali ini mengambil peluang mendaki bukit uhud. Bukit yang menjadi mercu tanda Madinah. Terdetiknya cetusan untuk tawan puncak Uhud ini hadir bila mengenangkan diri yang hampir 6 tahun berada di Madinah ini masih belum berkesempatan untuk tawan puncaknya. Alhamdulillah, syukur pada Allah setelah hampir 4 ke 5 jam mendaki dan dengan sedikit cramp dan lelah lelah yang bersahutan tak henti henti, kami berjaya menawan puncak uhud bersama. Sempat aku rakamkan beberapa suasana sepanjang mendaki bukit uhud setinggi 1077 meter ini. Boleh tengok videonya di bawah ini :


Bukit Uhud merupakan salah satu syiar bumi Madinah. Salah satu tinggalan dari zaman baginda Rasulullah SAW yang masih kekal hingga kini. Terlalu banyak perkara yang berkait di antara Baginda Rasul dan bukit Uhud. Antaranya, Bukit Uhud menjadi saksi tumpahnya dara syuhada di kalangan para sahabat mempertahankan dan memperjuangkan agama suci ini. Selain itu, baginda SAW pernah memberitahu para sahabat bagaimana bukit tersebut yang terdiri dari batu batu yang tidak bergerak bercakap berakal, yang jamidah itu mencintai baginda SAW dan baginda memberitahu bahawa baginda juga mencintainya. Antara lain, ialah kisah bagaimana Uhud bergegar bergoncang di saat baginda Rasul SAW bersama para sahabat di atasnya lalu disuruh diam oleh Nabi SAW.

Begitu banyak sekali kisah yang dinukil di antara Nabi SAW dan bukit uhud ini. Yang paling aku kagumi adalah cintanya pada Nabi SAW. Begitu hebat sehingga nabi SAW membalas cintanya kembali. Mudah mudahan cinta kita semua pada Nabi SAW sehebat cinta Uhud.

Teringat aku, pernah seorang syeikh kami ketika masih berada di peringkat diploma bahasa pernah menyebut,

Cinta yang paling hebat adalah cinta seseorang yang tidak kenal kita. Kita cinta padanya tapi kita tidak pernah bersua berjumpa dengannya. Sedang kebiasaan cinta itu pada bertemu dan berjumpa.
Perjalanan ke atas bukit sangat mencabar. Dengan ketinggian dan kecuramannya ditambah dengan cuaca dingin dan berangin membuatkan pendakian agak sedikit sukar. Jalan berbatu tajam dan tumbuhan padang pasir yang berduri menambah rencah kesukaran kami untuk sampai ke puncak. Hampir sahaja aku putus asa di separuh pendakian akibat kekejangan kaki selepas setengah jam mendaki. Namun, dengan dorongan dan desakan kawan kawan, aku turut jua untuk meneruskan pendakian.


Sambil mendaki kami dapat lihat kehijauan tumbuhan yang tumbuh menyeliputi sepanjang permukaan bukit. Barangkali kekerapan hujan pada tahun ini agak kerap berbanding tahun tahun lepas membuatkan tanah arab yang kebiasannya kering berpasir ini menjadi hijau.



Ada juga beberapa pokok bunga yang tumbuh yang dapat aku temui sepanjang pendakian. Kebiasaannya warna merah ataupun kuning sahaja. Namun sebelum beberapa meter untuk sampai ke puncak, ada satu bunga yang aku nampak agak menarik dan cantik warnanya. Berbeza dari bunga bunga yang lain sepanjang pendakian tersebut. Warnanya lebih cantik terang berbanding bunga bunga sebelumnya. Subhanallah!
Hilang lelah dan penat seketika tatkala mata menatap keindahan bunga tersebut sekaligus menjadikan penat dan lelah mendaki bukit berbaloi.



Barangkali, untuk jumpa sesuatu yang indah dan cantik memerlukan kepenatan dan kesakitan dahulu. Mungkin sepanjang kesakitan itu, kita akan jumpa beberapa kuntum bunga namun untuk jumpa sekuntum bunga yang 'rare'  yang menawan hati memerlukan lebih mujahadah dan kesabaran di atas sakit lelah penat sebelum menjumpainya.

Sampai ke puncak, kami menikmati keindahan permandangan seluruh Madinah dari atas sana. Tak lama berada di atas kerana tidak lama kemudian hujan turun dan memaksa kami untuk tidak duduk lama di atas puncak.



Demikianlah travelog ringkas sepanjang pendakian bukit Uhud. Pastinya menjadi satu kenangan manis untuk dipotret dalam bingkisan hidup dan menjadi bekalan sepanjang masa yang masih tersisa. InshaAllah.

p/s : dalam banyak banyak bunga yang aku jumpa tu, tiada satupun yang aku sunting buat simpanan peribadi. banyak benda kena fikir dulu sebelum petik. dari bunga yang warnanya biasa biasa hinggalah yang luar biasa tu. hee.

:)

SYA
0230AM
alMadinah alMunawwarah

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D