28 Mac 2019

Bicara Ini Buat Jiwa Yang Sedang Remuk Hatinya

| |

Seringkali terdengar manusia mengeluh, mengadu lemah tatkala diuji. Sedangkan pada ujian itu telah Allah berikan panduan kepada manusia bagaimana untuk menanganinya walau seberat batu yang menghempap dada, membebankan kepala. Mungkin kerana jauhnya kita dengan AlQuran, membuatkan kita, manusia terlupa atau terlepas pandang saranan dan panduan dari Tuhan di dalam KitabNya Al Quran. Akibat daripada itu, jiwa jiwa yang kosong, yang sedang retak mencari tempat untuk berteduh tersasar tempat teduhnya. Diisi dengan bayang bayang kebatilan seterusnya menjadi mainan dan boneka Syaitan laknatullah. Nauzubillah
Akibat daripada itulah, masyarakat kita hari ini dihidangkan dengan berita masalah masalah sosial dan kemurungan yang tiada kesudahan saban hari.

Setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza beza kerana manusia itu hal kehidupan dan sikap lakunya berbeza beza Bersesuaianlah dengan firman Allah, bahawa manusia ini diuji sesuai di atas takuk kemampuannya. Ada orang diuji dengan kesenangan kerana mungkin kesusahan bukanlah satu ujian buatnya. Lalu dia diuji dari kesenangannya itu, apakah dia bersyukur ataupun kufur?


Ada manusia lain diuji dengan kesusahan kerana kesenangan bukan satu masalah buatnya. Lalu dengan kesusahannya itu, adakah dia mampu sabar ataupun ingkar?

Lalu bagaimanakah irsyad dan petunjuk Allah untuk mereka mereka yang diuji?Baginda salallahualaihiwassalam dahulu, dalam usahanya menyampaikan Islam baginda ditentang habis habisan. Dimaki disakiti dilempar batu, tak kira dari masyarakat setempat hinggalah kerabat terdekat sendiri. Siapa kata baginda tidak sedih? Siapa kata hatinya tidak luka diperlakukan sedemikian? Baginda juga manusia, jiwanya manusia. Lalu Allah turunkan wahyu memberi panduan bagaimana untuk membina jati diri yang besar, jiwa yang cekal, hati yang tabah ketika diuji.

Allah sebut dalam surah Muzammil,

 يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut!

قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

-Surah Al-Muzzammil, Ayat 1-6

Lihat bagaimana allah pandu baginda sallallahualaihiwassalam tentang amalan untuk membina jiwa yang cekal dan hati yang tabah kerana urusan menyampaikan wahyu Tuhan bukanlah pekerjaan yang ringan. Malah satu cabaran dan ujian yang berat. Lalu besar manalah sangat ujian kita yang menyebabkan hati kita hari ini lemah jika dibandingkan dengan ujian dan cabaran yang diterima baginda? Sudah tentu panduan membina jiwa bagi sebesar ujian yang diterima baginda itu akan nampakkan ujian kita terima ini tampak 'kecil'.

Kemudian, ada allah sebut lagi,

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ * فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ * وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ





Sesungguhnya kami mengetahui bahawa kamu (wahai Muhammad) susah hati dengan apa yang mereka katakan. Bertasbihlah dan pujilah tuhan kamu dan jadilah di kalangan orang orang yang sujud. Sembahlah tuhan kamu sehingga datangnya kepada kamu perkara yang telah pasti.

[Surah Al-Hijr 97 - 99]


Lihat macam mana Allah ajar baginda tatkala hatinya sedih dan sempit akibat dakwahnya yang ditolak dan ujian yang diterima. Allah ajar supaya baginda bertasbih bertahmid dan perbanyakkan sujud.
Semoga setiap kita yang diuji membuatkan kita semakin dekat dengan Allah. Kerana itulah irsyad dan teladan Baginda salallahualaihiwassalam melalui wahyu dari Tuhan.

Abu Mughirah Nawran
1234PM
madinah alMunawwarah

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D