7 Januari 2019

Warkah Bisu Buat Salsabila

| |




Bismillahirrahmanirrahim. 

Kehadapan adik bongsuku, Nur Salsabila. 

Segala pujian dirafa'kan buat Tuhan sekelian makhluk Yang Maha Agung, Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam dikirim buat rasul junjungan, para sahabat dan para solihin.  

Apa khabar adikku di sana? Mudah mudahan sihat selalu, sentiasa di bawah rahmat dan lindungan Allah hendaknya. Selamat menempuhi perjuangan di alam persekolahan yang baharu. Terdetiknya hati abang untuk coret dan kirimkan warkah bisu ini apabila mendapat perkhabaran tentang resah dan lelah yang adinda adukan pada hari kelmarin.

Adikku, 

Marilah dengarkan beberapa pedoman yang suka untuk abang kongsikan. Mudah mudahan pedoman dan beberapa coretan malam ini bisa menjadi sumbu bagi menyalakan semangat dan kekuatan buat kamu tempuhi hari hari yang mendatang.

Adikku, 

Sedarlah bahawa kamu sekarang berada di dalam fasa menuntut ilmu. Ilmu, sesuatu yang sangat tinggi nilainya di sisi agama kita. Sudah tentu, sesuatu yang bernilai bukanlah sesuatu yang mudah untuk dimiliki, dicapai, dan diperoleh. Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi setiap muslim. Rasulullah SAW pernah bersabda, 

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

”Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim”. (HR. Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh Syaikh Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Ibnu Majah no. 224)

Tahukah wahai adikku mengapa Islam sangat menitikberatkan ilmu sehingga menjadi kewajipan buat setiap penganut agama ini? Kerana dengan ilmu-lah kita singkap kejahilan dan kegelapan dalam diri dan hidup kita. Dengan ilmu kita, belajar mengenal tuhan dan pencipta kita, mengenal rasul dan agama. Dengan ilmu kita belajar untuk hidup bernafas dengan ruh agama, dengan ilmu kita tahu bagaimana untuk beramal ibadat menjadi seorang hamba yang taat. 



Masih ingatkah kamu dengan kisah ketika mula mula nabi Adam alaihissalam diciptakan seperti yang dinukil di dalam alQuran? Pernah dahulu ketika Sang Pencipta mula mula ciptakan moyang kita Nabi Adam alihissalam, para malaikat yang pada mulanya meragui dengan kewujudan Adam alaihissalam akhirnya akur dan kagum dengan penciptaan Adam alaihissalam. 

Bagaimana? Juga dengan ilmu! Setelah Allah taala ajar baginda alaihissalam beberapa nama, kemudian Allah tanyakan nama nama tersebut kepada para malaikat, mereka tidak tahu berbeza dengan Nabi Adam alihissalam. Lihatlah bagaimana Allah mahu buktikan dan angkat darjat nabi Adam alaihissalam dari sekelian para malaikat! 

Allah subhanahu wa taala pernah menjanjikan ilmu sebagai jalan penghubung dan wasilah untuk sampai ke syurga melalui lisan baginda nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Di dalam hadith tersebut Nabi sallallahu alaihi wasallam menyifatkan untuk berjalan di atas "jalan ilmu" ini kita perlu meraba-raba dengan penuh teliti di atasnya.

Nah, lihatlah betapa tinggi dan besarnya nilai ilmu yang dijunjung agama kita. Oleh itu, perlulah diketahui bahawa sesuatu yang bernilai perlu ada harga yang mahal untuk dibayar. Perlu ada usaha dan kesungguhan untuk mendapatkannya. Pasti bermacam kesusahan dan letih penat dalam memperolehnya. 

Adikku, 

Sebelum mengakhiri warkah ini, suka untuk abang sampaikan beberapa panduan untuk kamu teliti dan gunakan. Hadam dan peganglah pedoman ini mudah mudahan berguna dan membantu kamu dalam fasa kamu menuntut ilmu.

Pertama,

Niat. Perkara yang paling penting dan paling susah untuk dijaga. Ikhlaskan niat kerana Allah taala. Pasang nawaitu dalam diri kamu belajar ilmu untuk angkat kejahilan diri. Bukan untuk kebendaan duniawi dan lain lain.

Kedua, 

Jaga hubungan kamu dengan Allah. Jaga hubungan dengan abi dan ummi. Ini juga sangat penting kerana tanpa redha Allah, jalan kamu menuntut ilmu akan menjadi sia sia. Tanpa redha ummi dan abi, hidup kamu ditimpa malang tanpa keberkatan sampai bila bila. Ingatlah peringatan dan amaran Tuhan dan RasulNya bahawa ketaatan pada ibu ayah sangat utama dalam hidup kita.

Ketiga, 

Jagalah adab kamu dengan ilmu. Bersama para guru dan pendidik kamu, santuni mereka sewajarnya. Merekalah asbab untuk kamu belajar jadi keberkatan ilmu itu berkait dengan redha mereka. Jaga adab dengan buku, pena yang juga menjadi asbab kamu menjadi orang yang berilmu.

Keempat,

Tanamkan rasa cinta kepada ilmu. Untuk belajar sesuatu yang baharu, untuk angkat kebodohan di dalam diri sendiri. Tidakkah dengan ilmu kamu kenal nombor dan huruf? Tidakkah dengan ilmu kamu bisa menulis dan membaca? Oleh itu, semaikan rasa cinta dan perasaan untuk angkat kejahilan diri sendiri dengan mencintai ilmu.

Kelima,

Kesungguhan. Benar jalan menuntut ilmu sangat lelah dan perit. Ujiannya bukan kecil tapi besar! Oleh itu tanamkan keazaman untuk lakukan yang terbaik. Dari kesungguhan ini cubalah untuk susun masa supaya kamu dapat menggunakan masa untuk kejar apa yang telah tertinggalkan semaksima mungkin. 

Terakhir, 

Tawakkal dan doa. Setelah jerih lelah, janganlah lupa untuk sentiasa berdoa pohon kekuatan dari tuhan. Kerana jalan menuntut ilmu itu ialah suatu jalan yang jauh dan panjang. Selalulah berdoa dan meminta doa terutamanya dari umi abi supaya diberi kekuatan dan kefahaman sentiasa dalam pelajaran. Lazimikan juga berdoa di waktu waktu yang mustajab.



Sekian sahaja coretan ringkas dari abangmu yang jauh ini. Mudah mudahan bermanfaat dan boleh ditatap selalu buat pedoman di hari hari mendatang. Semoga dirimu diberkati dan dirahmati. Sebelum menutup celoteh bisu ini, renungkan satu pepatah arab ini,


العلم لا يعطيك بعضه إلا إذا أعطيته كلك

" Ilmu itu kamu tidak akan dapat walau sebahagian daripadanya, melainkan jika kamu bagi padanya seluruh yang kamu ada "

Salam sayang dari kota nabi,

Ahmad Syakir.



0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D