9 Februari 2015

Langkah Hidup Seharian Seorang Siswa UIM [Bhg. 1]

| |
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kali ini saya nak memerah otak dan menulis untuk bawa anda semua merasai bagaimana kami di sini sebagai siswa Universiti Islam Madinah menempuh liku liku kehidupan seharian. itupun sekiranya daya kreativiti dan imaginasi anda mampu untuk menghadam rapitan dan nukilan saya ini.




Universiti. Islam. Madinah.

Tidak perlu rasanya saya perkenalkan dengan lebih lanjut berkenaannya kerana ini bukan posting untuk mempromosi universiti. Jadi, kepada yang masih noob dan  masih berlegar legar di kepalanya soalan soalan tentang di manakah universiti ini terletak, apa motif dan objektif universiti ini, bagaimana cara mahu mendaftar sebagai pelajar di sini, syarat syarat kemasukan dan lain lain akan diceritakan lain kali. InsyaAllah "kalau mood rajin menulislah.:P"

Mungkin ada di kalangan para pembaca yang memasang cita cita dan impian untuk bergelar sebagai siswa di universiti ini. Dalam pada itu sudah mula mengatur langkah dengan cuba sedaya upaya untuk mencapai cita cita dan angan angan itu. Sudah timbul angan angan dan mimpi masing masing akan betapa indahnya sekiranya aku bergelar siswa di universiti yang gah tereletak di bumi barokah ini.

Menceritakan keadaan dan situasi sedemikan membuatkan saya tersenyum sendirian dan segera teringat akan kata kata guru kami di Maahad Lughah Syeikh as Syarqowi,

Sesuatu benda yang kamu tidak nampak dan jauh dengan kamu akan kamu rasakan bahawasanya ia sesuatu yang indah dan sangat bahagia bila kamu memilikinya, akan tetapi ketika mana kamu sudah berhasil mengecap sesuatu benda itu, keindahan dan kebahagiaan yang kamu sangkakan tidak sama seperti mana kamu angankan ketika ia jauh dari kamu suatu masa dahulu.

Untuk menghadamkan lagi kata kata beliau, syeikh memberi kami beberapa contoh,


Misalnya untuk orang yang sudah bernikah dan mempunyai rumahtangga, sebelum dia bernikah dan diijabkabulkan, pasti di dalam fikirannya penuh fantasi dan angan angan betapa indah dan sempurnanya hidup sekiranya dia mempunyai isteri anak anak. Namun selepas nikah, mungkin keseronokan dan kebahagiaan yang dinanti kunjung pada hari pertama atau hari kedua, namun tidak beberapa lama kemudian kebahagiaan itu akan lenyap dan akan datang ujian ujian yang langsung tidak kamu jangka ketika mana kamu mengangankan pernikahan sebelum ini. 

Kemudian pertanyaan syeikh seterusnya membuatkan kami tersipu dan saling memandang sesama kami sambil tersengih sengih,

Satu lagi contoh, seperti diri kamu sendiri. Bagaimana perasaan dan tanggapan kamu akan kehidupan dan suasana di universiti ini ketika kamu jauh di negara kamu sendiri dan ketika kamu belum lagi diterima sebagai pelajar di universti ini? Sudah tentu apa yang ada di fikiran kamu pastinya keindahan dan kesempurnaan hidup sekiranya diterima sebagai siswa di universti ini. Tapi apa yang jadi setelah kamu sampai?

Kalam syeikh terhenti dengan tawa kecil kami di dalam kelas.

Kesinambungan dari kisah dan kata kata guru kami yang saya petik tadi bukanlah bertujuan dan bermaksud akan kehidupan kami di sini sangat teruk. Tidak! Bahkan kehidupan kami di sini sangat sempurna dengan bermacam macam kurnia dan rezeki, masyaAllah! Cuma, sikap dan fitrah kita sebagai manusia memang seperti itu. Benda yang jauh yang belum ada di depan mata akan kita impikan dan membayangkan akan betapa indahnya sekiranya benda tersebut dapat kita capai, tetapi setelah benda itu dicapai, manusia akan cepat rasa bosan dan tidak mampu untuk menghargai apatah lagi mensyukuri. Tambah pula kalau benda yang melibatkan tanggungjawab seperti nikah, pekerjaan misalnya dan lain lain lagi.

Kembali kepada topik kita yang asal, saya mulakan kisah seharian kami di universiti ini dengan rutin harian kami pada hari pembelajaran. Sesi pembelajaran kami di sini bermula pada hari Ahad sehingga hari Khamis manakala pada hari Jumaat dan Sabtu merupakan cuti mingguan.

Bermula dari bangun pagi dan bersiap siap untuk solat subuh, usai mandi dan membersihkan diri kami akan bersiap siap terus ke masjid yang berdekatan untuk solat subuh secara berjemaah. Setiap pagi masjid di universiti akan melaungkan azan sebanyak dua kali. Setiap kali azan untuk solat fardhu lima waktu berkumandang, kami menunggu selama 20 minit sebelum iqamah dilaungkan memberi peluang kepada pelajar pelajar yang mana kampus kediaman mereka jauh dengan masjid untuk datang dan solat berjemaah bersama memandangkan di dalam kawasan universiti ini hanya ada dua masjid untuk para pelajar di sini.

Masjid universti yang baru

Masjid universiti yang lama.


Sesudahnya kami solat Subuh berjemaah, masing masing akan membuat hal hal sendiri sebelum bergerak ke kelas yang bermula seawal 7.30 pagi. Di masjid universiti, pihak universiti ada menganjurkan halaqah hafazan AlQuran dan Mutun Ilmu untuk para pelajar universiti secara berdaftar bagi sesiapa yang ingin menyertainya. Halaqah tersebut bermula pada setiap kali selesai solat subuh pada hari pembelajaran sahaja. Maka, sesetangah dari pelajar yang mendaftar dengan halaqah tersebut terus bergerak ke tiang halaqah yang ditetapkan oleh pihak pengurus halaqah selesai sahaja solat. Baki daripadanya yang masih tinggal di masjid ada yang membaca Al Quran secara sendirian, mengulangkaji pelajaran di masjid dan sebagainya. Sebahagian yang lain ada yang kembali ke kampus kediaman masing masing atau bergerak ke kafe universiti untuk sarapan.

Suasana di dalam masjid baru selesai solat

Bercerita tentang kafe universiti, kafe universiti ini menjalankan sistem berkupon untuk makan di sini. Menyediakan hidangan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Setiap kupon untuk 3 hidangan dalam sehari berharga lebih kurang SR6 ke SR8 (tak pasti).  Purata untuk satu set hidangan dalam SR2 ke SR3 setelah diberi subsidi oleh pihak universiti.

Kantin/kafe universiti!


Kupon kupon yang perlu dibeli secara bulanan untuk makan di kafe/kantin universiti

Untuk makan, kami terpaksa beratur panjang memandangkan hanya 4 buah kafe yang tersedia untuk sekelian pelajar universiti yang ramai. Suatu benda yang menarik perhatian saya dan teman teman yang lain ketika kali pertama sampai dan makan di sini, ialah suasana sekitar di dalam kafe tersebut. Cuba bayangkan, suasana di dalam satu bangunan ini di mana seluruh pelajar universiti berlainan bangsa dan negara berada dalam satu bangunan untuk makan bersama dengan hingar dan bising dek pertuturan bahasa yang berlainan di dalam satu bagunan yang bertindih tindih di antara satu sama lain.

Saat kesabaran diuji. T.T

Lagi detik kesabaran teruji. T.T

Suasana di dalam kafe/kantin universiti

Selesai menjamu sarapan, buat yang ada kelas seawal pagi, kami bergerak ke kelas untuk memulakan pelajaran tertakluk di atas jadual dan jurusan masing masing. Pembelajaran dan pengajaran di sini mempunyai beberapa fasa mengikut jurusan dan jadual masing masing. Fasa pertama bermula seawal 7.30 pagi dan berakhir sebelum Zohor. Fasa kedua pula bermula pada pukul 2.30 sehingga sebelum Asar, dan fasa ketiga bermula selepas asar sehingga sebelum Isya'.

Antara hidangan yang disediakan untuk hidangan sarapan. Kuah dhal, madu, telur rebus/hacur, roti, jem dan susu/kopi

Kebanyakan dari pelajar di sini sesi pembelajarannya pada fasa pertama yang mana berakhir sebelum azan Zohor. Usai pembelajaran kami bergerak ke masjid atau ke musolla berdekatan di bangunan bangunan kuliah. Setelah solat Zohor, ada yang bergerak ke kantin universiti untuk menjamu makan tengahari, ada yang terus pulang ke kampus kediaman masing masing untuk berehat.

Lagi? Kali sampai ke luar dewan makan! T.T

Seperti biasa, untuk makan di kantin universiti ini memerlukan daya sabar dan ketahanan mental yang tinggi dengan barisan beratur yang panjang bagi mengalas perut yang lapar. Selesai makan, masing masing bebas dengan aktiviti tersendiri. Mostly, pelajar pelajar mengambil peluang masa yang kosong sementara menunggu waktu Asar ini untuk berehat dan melepaskan penat.



Antara hidangan yang disediakan sewaktu makan tengahari. Pilihan lauk disediakan seperti daging ikan dsb

Rasanya cukup dahulu saya berkisah mengenai kehidupan kami di sini untuk bahagian satu ini. InsyaAllah akan bersambung kisah di bahagian dua pula. Nantikan!

:)

P/S: Special thanks to Qusyairie Ruslan, Shahruddin, dan rakan rakan lain yang menyumbangkan gambar! :)

SYA
Madinah AlMunawwarah, KSA
0150
08 FEB 2015

3 Komen:

Adapun keburukan lebih baik tidak diceritakan untuk orang awam

Author



Thanks atas nasihat abam abam sekelian. akan dibaiki dalam posting kedua. :3

*xtawu bila*

:P

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D