18 April 2015

Isu Habaib : Bagaimana Harus Ku Katakan?

| |

Tidak dinafikan dunia kita pada hari ini yang serba canggih memberi akses dan kemampuan kepada manusia untuk memberikan segala maklumat dan sebarang informasi tentang sesuatu permasalahan. Tiap hari ada saja isu dan benda benda yang gamat dibincangkan di media sosial. Sehari dua ini kecoh di kalangan masyarakat kita tentang isu Habaib dan kaitan mereka dengan satu kumpulan tarekat yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan suatu masa dahulu.


Medan media sosial tak sunyi membicarakan soal ini.Masing masing lantang memberi hujah. Masing masing lantang menegakkan hujah, menyatakan sumber rujukan. Sebelah pihak mendakwa begitu begini, sebelah pihak lagi menafikan dakwaan cuba mencari hujah balas. Cuba minta bersangka baik dan bermacam hujah yang dikeluarkan dari kedua dua pihak.

Ini bukan kali pertama benda ini berlaku, bahkan sebelum sebelum ini juga wujud pelbagai macam isu yang bingit dibincangkan di kalangan masyarakat kita. Isu tahlil, bidaah, Wahhabi, dan lain lain. Isu ini tidak dinafikan membuka mata dari pelbagai pihak, baik dari peringkat ustaz ustazah, alim ulama, professional, orang kebiasaan dan para para pelajar secara umumnya. Lalu dengan pertembungan pendapat dari golongan golongan di peringkat paling atas dalam bidang agama pada isu ini telah memberikan kekeliruan kepada golongan yang paling bawah seperti orang kebiasaan dan para penuntut agama.

IBARAT JONGKANG JONGKIT

Ikhlasnya saya tidak berminat untuk membuahkan pendapat tentang golongan mana yang benar golongan mana yang sesat. Keutamaan saya kepada golongan golongan yang masih merangkak dalam memahami Islam dan amat cetek pengetahuannya dalam agama seperti saya ini akan pertembungan dua pendapat dalam sesuatu isu seperti isu habib ini misalnya. Lazimnya golongan golongan seperti ini seakan ingin mencari satu hukum atau kesimpulan berkenaan dengan masalah yang dibangkitkan untuk dijadikan pegangan.

Bila dirujuk perihal masalah ini kepada Ustaz A,

dakwaan ini betul. Wujudnya simpang siur dalam dakyah para habaib ni!

Bila dirujuk pula pada Ustaz B,

Ini fitnah puak puak ekstremis. Jangan percayakan gambar. Lagipula gambar video itu boleh diedit

Buka akhbar,

HARAM berzikir dengan cara begitu. Ianya dari cabang satu tareqat yang sesat - JAKIM
Berzikir salah satu sunnah dan tidak dilarang pada zaman nabi- Dr Z

Pening. Keliru. Tunggang terbalik tanggapan kita bila bertembung dua pendapat sebegini.



Bila mahu berlapang dada dan ingin menganggap ini perkara khilaf dan cabang agama, sama sekali tidak kerana ianya berkaitan aqidah dan pegangan dan iman kita pada agama

Nak pakai pendapat ustaz A tak betul, umum dikenali beliau seorang yang masyhur. Kuliahnya ramai yang hadir dan saban tahun sudah berpuluh puluh kuliah dikendalikannya.

Nak kata Ustaz B salah, dia juga antara pendakwah yang masyhur. Ijazahnya dari timur tengah. Bahkan sedang menyambung Master lagi dalam pengajian Islam.

Nak kata JAKIM silap, bermakna autoriti dan kredibiliti JAKIM sebagai penjaga hal ehwal agama Islam di Malaysia boleh diragui. Sekiranya benar, maka tiada guna lagi kita rujuk logo halal JAKIM sekiranya kita mahu membeli makanan misalnya sedang dalam urusan besar seperti benda Aqidah beginipun JAKIM boleh tersilap dan tidak mengambil serius.

Nak kata Dr Z salah, dia antara Ulama Malaysia yang masyhur. Banyak membuahkan pendapat dalam urusan agama dan masalah masalah yang berlaku di negara kita. Bahkan Dr pula tu. PHD!

Pening! Pening! Pening!

Lalu dalam situasi tersepit dan terbolak balik bagai dipukul ombak begini, bagaimanakah cara kita membuat kesimpulan? Sedang ilmu agama kita tidak tinggi dan dangkal berbanding dengan mereka alim ulama?

Oleh yang demikian, saya ingin mengajak anda menghadamkan perkongsian saya tentang beberapa cara dan pendapat selari dengan apa yang Rasulullah SAW bawa dan langsung tiada sanggahan ataupun khilaf padanya untuk kita yang masih kurang ilmu agama ini menilai dan membuat keputusan dari isu isu yang telah berlaku atau bakal berlaku pada masa akan datang mungkin. Mudah mudahan dapat memberi satu prinsip dalam diri kita untuk menilai apa apa perkara yang akan mendatang pada masa depan InsyaAllah.

SEBELUM BERHUKUM

Ada beberapa perkara yang perlu kita teliti dan fahamkan sebelum saya mengutarakan panduan untuk kita menilai dan membuat kesimpulan di antara pertembungan yang berlaku :

1. Sedar akan hakikat kita sebagai manusia yang sering membuat kesilapan.


Manusia. Bila dah namanya manusia tak pernah lari dari melakukan kesilapan. Tak kira di pangkat apa sekalipun dia, manusia dan kesilapan ibarat diciptakan seiiring. Rasulullah SAW pernah melakukan kesilapan. Antaranya sebagaimana yang dinukil di dalam Al Quran, ketika mana Nabi SAW berpaling untuk menyampaikan dakwah pada Ibnu Ummi Maktum berbanding para pembesar Quraisy pada ketika itu. Lalu turunlah ayat dari Surah Abasa menegur tentang perbuatan Nabi SAW.
Para sahabat yang menjadi teman Rasul di waktu susah dan senang juga pernah tersilap. Antaranya di waktu mana ketika Rasulullah SAW dikhabarkan wafat, Umar ibn Khattab waktu itu seperti hilang arah. Bahkan mengugut sesiapa sahaja yang mengkhabarkan bahawa baginda sudah wafat akan menjadi santapan pedang dari tangannya. Namun, perbuatan tersebut ditegur oleh Abu Bakr AsSiddiq dengan membaca ayat Quran dari surah Ali Imran ayat 144. Tersentak Umar RA mendengarnya dan memberitahu,

Seakan akan ini kali pertama aku mendengar ayat ini

Banyak lagi kisah kisah silam di zaman Rasulullah SAW sendiri memperihalkan tentang kesilapan berijtihad di kalangan manusia.
Pokoknya, manusia fitrahnya tidak pernah betul pada semua hal. Hatta rasul yang diutuskan Tuhan sekalipun! Cuma bezanya Rasullullah SAW ini apabila baginda tersilap, serta merta wahyu dari Allah turun menegur silap Nabi SAW. Itu yang membuat baginda maksum dari sebarang kesilapan.
Adapun para sahabat ataupun manusia biasa ketika mana membuat keputusan ataupun kesimpulan, tiada wahyu, tiada perkhabaran yang membenarkan atau mengkhabarkan sama ada perkara itu benar atau silap.

Jadi, bila seagung angung manusia iaitu Rasulullah SAW pun boleh melakukan kesilapan, sealim alim dan golongan yang paling tinggi kefahamannya dalam Islam pun boleh tersilap melakukan ijtihad dan membuat kesimpulan, maka apa ulama ulama selepasnya terlepas dari melakukan sebarang kesilapan dalam membuat hukum dan memberi kesimpulan? Pasti tidak, bukan?

Oleh sebab itu, tidak perlu timbul satu tanggapan dalam diri kita apabila seseorang itu berpangkat, ada ilmu, pernah belajar tinggi, ulama masyhur serata dunia, ada pengaruh seramai dunia sekalipun tidak pernah sekali terlepas dari melakukan kesilapan apatah lagi dosa. Tidak terlepas darinya untuk silap membuat keputusan malah silap untuk memberi ijtihad dan pandangannya terhadap apa apa masalah yang baharu. Tidak perlu kita beranggapan seseorang yang ada ilmu, alim ulama langsung takkan tersilap dari mengeluarkan hukum dan sebagainya.


2. Menolak pandangan seseorang ulama yang didapati menyalahi Al Quran dan Sunnah bukan bermakna kita membencinya ataupun semua ilmu yang ada padanya tertolak.

Katakanlah kita dapati ada seorang ustaz atau ulama mengeluarkan hukum yang bercanggah dengan Al Quran dan Sunnah serta bercanggah dengan pendapat pendapat ulama muktabar yang dahulu dalam menafsirkan Quran dan Hadith dalam satu satu masalah, itu sama sekali tidak bermakna kita membencinya atau kita tak menyayanginya.

Saya bawa satu misal, sekiranya ayah kita menyuruh kita meminum arak lalu kita menolaknya. Apakah kita dikira tidak sayang pada ayah kita disebabkan kita menolak suruhannya untuk berbuat maksiat? Apakah dengan sebab kita menolak suruhannya meminum arak bermaksud kita membencinya? Pastinya tidak. Menolak suruhan atau pendapat sesorang tidak bermakna kita membenci batang tubuh seseorang itu.

Namun, menolak pendapat mereka tidak pula kita nafikan ilmu ilmunya yang lain dan jasa jasanya yang besar telah menyampaikan ISLAM pada kebanyakan orang. Kesilapannya memberi pendapat tidak memberi lesen kepada kita yang kurang ilmu untuk mencela, melabel dan mempertikaikan ilmu ilmunya yang lain yang senada dengan AlQuran dan Sunnah.


3. ISLAM datang dan dibawa dari Nabi SAW. Tiada siapa punya kelayakan untuk menokok tambah atau mengurangkan apa yang baginda bawa.

Kesucian dan izzah Islam itu pada sanad. Dari sejarah sejarah lalu kita tahu jalan ISLAM tidak pernah sunyi dari sebarang musuh yang ingin merosakkan kesuciannya. Bermula setelah baginda wafat, timbul Nabi palsu, Surah palsu dan akhirnya dieekori dengan hadith hadith palsu. Semuanya ini agenda agenda jahat untuk merosakkan ISLAM.

Lalu di tengah tengah lontaran lontaran fitnah dan kerosakan yang dilemparkan oleh musuh musuh ISLAM ketika inilah Sanad menjadi penyelamat kepada kita. Sanad ialah jalan perkhabaran yang disampaikan dari Nabi SAW kepada para sahabat lalu disampaikan turun temurun kepada zaman selepas mereka.

ِAbdullah ibnul Mubarak pernah berkata :

Kalaulah tidak kerana sanad (jalan perkhabaran), maka akan berkatalah sesiapa yang mahu berkata apa apa yang dia mahu berkata
Maksud : Kalau tidak kerana sanad yang dijaga dan diwariskan zaman berzaman, sudah tentu semua orang boleh mendakwa apa yang dia bawa itu benar dari Rasul.

Sanad jugalah yang memelihara ISLAM dan membezakannya dari agama agama samawi yang lain. Sejarah juga menceritakan bagaimana agama Yahudi dan Nasrani yang Allah pernah syariatkan suatu masa dahulu dicemari dengan tokok tambah dan anasir ansir jahat dari Ahli Ahli Kitab dan Ulama mereka pada zaman dahulu yang tidak amanah dan menurut hawa nafsu.

Sekiranya kita tidak peduli dengan sanad ataupun dalil bagi sesuatu hukum yang dibawa oleh seseorang ulama ketika mana dia mengeluarkan pendapat, apa kita rela ISLAM yang kita terima itu ditokok tambah dan diubahsuaikan sesuka hati sama seperti ahli Kitab Yahudi dan Nasrani yang dilaknat oleh Allah suatu ketika dahulu?

4. Akhir zaman yang penuh dengan perpecahan.

Di akhir zaman ini, Rasulullah SAW sudah banyak menggambarkan betapa dahsyatnya perpecahan sesama umat ISLAM. Ini dinukil dalam banyak hadith baginda tentang kerosakan pada akhir zaman yang boleh anda dapati. Antaranya :

Sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 golongan, manakala umatku pula akan berpecah kepada 73 golongan. Kesemua mereka di neraka kecuali satu golongan sahaja. (Para sahabat) bertanya, "Siapakah (golongan yang tersebut) ya Rasulallah? Rasulullah menjawab, "golongan yang aku dan para sahabatku berada di atasnya


[Hadith riwayat al-Imam al-Tirmizi]


Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya

[Hadith riwayat Imam Muslim] 

Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak

[Hadith riwayat Imam Muslim]




Banyak lagi hadith hadith yang boleh didapati di dalam kitab kitab hadith yang memberi peringatan dan amaran tentang perepecahan pada akhir zamn dan perkara perkara tokok tambah dalam Islam. Dengan bayaknya amaran Rasulullah SAW akan perpecahan dan perkara perkara tokok tambah dalam agama ini dan peringatan baginda untuk tetap teguh bersama Al Quran, Sunnah baginda dan Khulafa' Rasyidin ini, tidakkah kita nampak panduan yang baginda mahu sampaikan dari hadith hadith tersebut untuk kita menghadapi perpecahan di dalam ISLAM yang berlaku di akhir zaman ini?


PANDUAN UNTUK MENILAI PENDAPAT YANG BERTEMBUNG




Panduan yang saya cuba gariskan di sini bukanlah sesuatu yang baru, saya hanya cuba bawa apa yang telah Rasulullah SAW sebut dalam hadith hadith yang telah saya bawakan dalam bahasa yang mudah difahami supaya anda nampak bagaimana untuk kita nilai sesuatu pandangan atau apa apa benda yang datang kepada kita dalam sesuatu isu supaya kita tahu yang agama kita ini selamat dari sebarang anasir bila berlaku pertembungan dalam masalah agama kita. Berikut beberapa panduan saya sertakan di sini :


a) Dengar pendapat dari semua orang yang punya pengatahuan tentang agama. Misal kata sekiranya ada dua pihak, dengar hujah dan penerangan dari kedua dua pihak.

b) Teliti dahulu satu satu pendapat. Yang mana lebih kuat menggunakan hujah dan dalil dari quran dan sunnah. Perlu diingat hujah AlQuran dan Sunnah menjadi sandaran utama dan paling kuat sebelum kita ambil pendapat pendapat ulama muktabar.

c) Sekiranya dua dua menggunakan dalil Quran dan Sunnah, cuba cari yang mana lebih tepat penggunaan dalilnya, apakah ayat quran yang digunakan sebagai hujah tepat dengan apa yang dia dakwakan atau apa yang dia bawa. Sekiranya dalil hadith yang diutarakan, apakah martabat dan sanad hadith tersebut, adakan sahih dan dijamin kesahihan hadithnya? Apakah perbahasan dan penafsiran hadith itu tepat dengan dakwaan beliau? Cuba rujuk perbahasan ulama di dalam kitab kitab dan ustaz ustaz yang alim dalam bidang tersebut untuk pengesahan dalil yang dibawa tepat ataupun tidak.

d) Sekiranya masih keliru dan sangsi dengan beberapa pendapat yang masih bertembung, berdoa dan memohon petunjuk kepada Allah yang Maha memberi petunjuk. Mintalah padaNya supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Jalan Dia redhai, bukan jalan yang Dia murkai dan jalan kesesatan.

KESIMPULAN


Tepuk dada tanya iman kita kembali. Apakah diri kita mahukan ISLAM yang kita bawa dalam nafas jiwa kita ini ISLAM yang suci sebagaimana nabi bawa dahulu ataupun kita hanya rela dan biarkan ruh ISLAM dalam aqidah kita bercampur baur dengan celup orang kata sana celup orang kata sini dan terus kita pakainya menjadi agama dan amal soleh kita?

Tidakkah kita takut dengan firman Allah swt,

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا

Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir dan yang menyelisihi Rasul pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan dan amal mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

يَوْمَئِذٍ يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَعَصَوُا الرَّسُولَ لَوْ تُسَوَّىٰ بِهِمُ الْأَرْضُ وَلَا يَكْتُمُونَ اللَّهَ حَدِيثًا

Pada hari itu orang-orang yang kafir dan yang menyalahi amal soleh mereka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.

[Surah An Nisa' : Ayat 41, 42]

Ayat ini menunjukkan pada hari kiamat kelak, Allah akan datangkan Rasulullah SAW sebagai saksi kepada amal amal soleh kita. Apa benar amalan amalan soleh kita yang menggunung semasa hidup di dunia ini ialah apa yang Rasulullah SAW bawa ataupun tidak. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith baginda yang bermaksud,

Aku akan mendahului kamu di al haudh (telaga) (pada hari kiamat kelak di padang mahsyar). Lalu ditampakkan di hadapanku beberapa orang di antara kalian. Ketika aku akan mengambilkan (minuman) untuk mereka dari telaga itu (dalam keadaaan mereka yang sangat dahaga), mereka dijauhkan dariku. Aku lantas berkata, ‘Wahai Rabbku, ini adalah umatku’. Lalu Allah berfirman, ‘Engkau tidak tahu apa perkara yang mereka ada-adakan sejak sepeninggalanmu 

Dalama riwayat yang lain,
(Wahai Rabbku), sungguh mereka sebahagian dari umatku. Lalu Allah berfirman, ‘Sesuungguhnya engkau tidak tahu bahwa sepeninggalanmu mereka telah mengganti ajaranmu (dalam urusan agama)”. Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan, “Celaka, celaka bagi orang yang telah mengganti ajaranku sesudahku 
[Hadith Sahih riwayat Imam Bukhari no. 6576, 7049, 7050]
Teliti dan nilailah sendiri.
Panduan tersebut bukan sekadar digunakan untuk isu isu yang baru dibangkitkan seperti isu habaib yang sedang hangat kini sahaja, akan tetapi panduan tersebut adalah satu tapak asas kepada kita untuk menilai dan membuat kesimpulan yang mana satu pendapat dan dakyah yang benar supaya kita dapat nilai sendiri sama ada ia benar ataupun tersimpang. Bukan sahaja dalam isu ini, tetapi dalam semua aspek merangkumi fiqh, aqidah, tafsir dan sebagainya. Tidak wajar untuk kita terima bulat bulat tanpa kita teliti sendiri apa benar pendapat dan dakwaan seseorang yang melibatkan dengan urusan agama kita sama seperti mana dengan apa yang Rasulullah SAW ajarkan sekiranya kita mengambil langkah berjaga jaga dengan amaran mengubah suai dan menokok tambah ajaran Baginda SAW dalam AlQuran dan Hadith yang telah disebut tadi.

Sekiranya setelah anda menilai dan mengikut panduan tersebut dan berpendapat bahawasanya fikrah dan dakyah habib ini benar, ada panduan dia dari hadith yang sohih, ada dalil dari quran, dan ulama ulama muktabar sebelum dari zaman mereka para habaib ini sudah buat, maka peganglah dengan kesimpulan kamu sebegitu dengan yakin. Semoga pegangan dan hujah yang kamu lihat benar itu dapat kamu jawab nanti sekiranya Allah dan Rasul menjadi saksi kamu di hari kiamat kelak.

Begitu juga sekiranya anda melihat ada sedikit kecelaruan dan perselisihan pendapat di kalangan mereka dari apa yang anda dapati dengan dalil dan hujah hujah mereka bawa langsung tidak selari dengan ISLAM yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka berlepas tanganlah dan itu tidak menjadi satu lesen untuk kamu cela mana mana ulama' hanya disebabkan kesilapannya. 



Kerana ISLAM adalah agama rahmat. Menganjurkan keharmonian dan mementingkan nilai dan adab sesama manusia. Adalah tidak wajar dan sama sekali salah kepada mereka yang mengambil sikap mencela seseorang di atas kesalahan orang lain. Mencukupi saya akhiri tulisan ini dengan satu hadith baginda SAW,


Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, senantiasa taat dan dengar meskipun yang memerintah adalah seorang budak Habsyi yang hitam. Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat

Hadis ini merupakan sebahagian daripada Hadis 40 Imam al-Nawawi, no: 28. 
Secara lengkap ia dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya. 
Sila rujuk Shahih Sunan Abu Daud, no: 3991/4607 

Semoga sedikit buah fikiran saya menjadi panduan dan renungan untuk kalian. Saya juga manusia biasa. Punya banyak kesilapan. Cuma berkongsi pendapat dan buah fikiran. Mudah mudahan memberi satu fikrah baru pada kita semua untuk menilai dan muhasabah balik dalam diri kita. Semoga kita semua dikurniakan hidayah dan taufiqNya hingga ke Syurga.

Amin.

:)
SYA
Madinah AlMunawwarah, KSA
0737am
18 APRIL 2015

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D