13 Disember 2013

Coretan Kembara di Bumi Iman

| |

 Hai! :D


Kembali menulis!
Alhamdulillah. Tanggal 17 Oktober bermusafirnya diri ini bersama 9 orang sahabat seperjuangan ke tanah iman dan hikmah Yaman. Dengan tekad dan semangat yang jitu untuk menimba ilmu, tarikh dipilih jatuh pada hari raya kedua AidilAdha.

Mungkin kerana pemergian kami jatuh pada AidilAdha, keberangkatan kami sedikit sebanyak menjadikan suasana pemergian kami seperti sekuel "drama tv" di antara kami dan keluarga yang akan ditinggalkan. Bahkan, seorang sahabat dari Sabah juga tidak sempat menyambut kedatangan aidilAdha di samping keluarga kerana terpaksa bertolak awal ke semenanjung untuk persediaan!

 Flight lagend yang bawa kami ke Yemen. :D *sakit belikat*


Pada diri ini, secara peribadinya bukanlah menjadi sesuatu yang janggal apabila berjauhan dengan keluarga untuk menuntut Ilmu. Barangkali sudah terbiasa sejak dari tingkatan 1 apabila diri ini juga di hantar jauh dari kampung halaman ke bumi serambi mekah semata mata untuk mempelajari dan menjadi sebahagian di kalangan penjaga penjaga al Quran.

KISAH SILAM SEBAGAI INSPIRASI

Sementelah beberapa hari sebelum pemergian, kerap jua soalan ini diutarakan oleh teman teman,

Nak pergi jauh dah dia. Tak rasa sedih? berjauhan?

Tersenyum.

Bila terkenangkan kembali tentang 5 tahun yang lalu, ternyata bukan sesuatu yang mudah untuk membiasakan diri berjauhan dari keluarga. Bercampur baur perasaan di dalam diri sepanjang 5 tahun berjauhan. Tiada keluarga, mahupun saudara terdekat di kelantan. Seolah olah diri ini berada di negara asing. Hatta, pada awal tahun pertama keberangkatan ke Kelantan, bukan ABI dan UMMI yang menghantar dan menguruskan pendaftaran hingga ke pintu sekolah kerana waktu itu mereka menyahut panggilan haji di tanah haram mekah. Terima kasih buat Ustaz Khair Abd Jalil yang menggantikan orang tua ku menguruskan pendaftaran kemasukan. Moga Allah memelihara beliau sekeluarga.

Bila berjauhan, benda yang paling sukar untuk dihadap ialah mainan dan gelora perasaan. Bayangkanlah pada hari pertama pendaftaran, saat teman teman lain datang bersama keluarga, ibu ayah menguruskan pendaftaran kemasukan. Sedang diri ini bersendirian tanpa sesiapa.

Itu baru permulaan cerita.

Bayangkan pula saban minggu. Saat teman teman yang lain dikunjungi oleh ibu dan ayah masing masing, sedang diri ini termenung menyaksikan dari jauh kemesraan mereka. Menelan air liur sendirian saat keluarga sang teman menikmati bekal dari rumah. Menjamu bersama masakan si ibu.

Bila keseorangan, rasa macam duk tepi pantai sorang sorang sambil bawa hati yang lara. :')


Pedihnya hati tika itu hanya Tuhan yang tahu.

Tak kurang juga, saya ingat tika itu pulang bercuti di rumah. Ketika sedang mengemas bilik, terjumpa foto keluarga dan adik beradik yang lain (kecuali saya) bergambar kegembiraan bersama di hadapan zoo. Sayu. Mahu saja tika itu air mata lelaki ini mengalir. Timbul juga waktu itu di hati seperti rasa disisihkan dari keluarga.

Namun itu semua kisah silam. Pahit dan peritnya mengajar diri ini untuk lebih kuat. Menjadi anak sulung dan anak lelaki tunggal dalam keluarga menjadi sebab untuk terus mengorak langkah. Mengejar impian dan cita.

Dengan payah dan perit berjauhan itu, saya temui keluarga 'baru' di sekolah. Membina perhubungan perlahan demi perlahan bersama teman teman. Dengan segala suka duka dilalui bersama kami rapat bagaikan adik dan abang. Guru guru itu sebagai ayah. Memberi tunjuk ajar dan menegur setiap kenakalan. Hatta kakitangan bukan pendidik di sekolah itu pun terasa dekat dan rapat seperti ayah dan ibu sendiri.

Perlahan lahan 'keluarga' di situ sedikit sebanyak mengubat hati yang sakit sebelum ini hingga terhapus segala suram sedih sebelum ini.


Mungkin dari itu juga saya dilihat sedikit dingin apabila bersama keluarga. Tapi pada hakikatnya, sayang pada keluarga ini tidak pernah luntur akibat berjauhan. Cuba untuk melaksanakan se'optimum' mungkin dengan kudrat yang ada untuk berkhidmat dengan keluarga.


BERJAUHAN ITU SUNNAH PARA PENUNTUT

Tidaklah ia menjadi suatu kelemahan buat para penuntut ilmu sekelian andai anda melihat berjauhan dari keluarga dan orang yang tercinta itu suatu perkara yang kontra dalam proses menuntut ilmu. Tidaklah ianya menjadi satu alasan pada diri untuk tewas tersungkur pada perasaan yang bergelora disebabkan berjauhan.

Kalau kita singkap sejarah ulama dan para Ilmuwan dulu, mereka merantau berjauhan dengan keluarga tidak pulang bertahun tahun lamanya hanya disebabkan menuntut ilmu.

Zaman dahulu tidak punya telefon untuk berhubung. Tidak punya whatsapp,facebook,viber, skype atau apa apa sahaja untuk mereka terus berhubung bersama. Bahkan bagi mereka untuk mengutus surat sekalipun tidak terjamin dek kerana tidak tercapai dengan teknologi pada zaman itu.

Bersyukurlah. Kuatkanlah hati dan semangat dalam diri untuk terus menuntut. Dengan kemajuan teknologi kini, kita bisa terus berhubung dengan keluarga tercinta, Tiada alasan untuk terus lemah.

 Jangan tergelincir! Keep moving! :)

Andai rindu untuk berkeluarga, binalah keluarga dari persekitaranmu. Supaya keluarga itu nanti yang akan berada di belakangmu andai dikau hampir tersadai atau tergelincir.

Ayuhlah teman sekelian. Keluargamu di sana sudah menyandarkan segala harapan buatmu. Kuatkan semangat. Jangan mudah tertewas! Masanya buat kita membalas segala harapan itu. Mudah mudahan seberangkatan kita menimba ilmu secara tidak langsung memberi faedah dan kebaikan buat orang tua kita andai pulangnya diri ini nanti bermanfaat ilmu yang ditimba kepada orang lain.

Berikanlah khabar gembira buat yang berharap. Bukan khabar rengekan dan rungutan atau air mata kerinduan.

Kerana sakitnya berjauhan itu memberi kekuatan tersendiri untuk para ilmuwan terus menuntut dan menimba sebaik mungkin ilmu. Bukan membiarkan perasaan menewaskan impian dan cita cita yang dituju.

Semoga. :)

SYA
Sana'a, Yemen
0005
13 DISEMBER 2013

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D