17 Mei 2018

Menjelang Ramadhan!

| |

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Kita masih lagi Allah beri peluang dan kudrat untuk menyambut Ramadhan kali ini. Perlu diakur, ianya merupakan satu nikmat yang sangat sangat besar. Malanglah sekiranya kita masih tiada 'aura' ataupun kegembiraan menjelang masuknya bulan penuh kerahmatan, maghfirah keampunan, dan peluang perlepasan dari api neraka. Malang!


Sheikh kami, Sheikh Abu Ali, yang sudah kami anggap sebagai bapa kami sendiri di sini, pernah berkata,

Setiap Muslim yang tahu perlunya dia memuliakan masjid masjid dengan mengelakkan diri dari perkara perkara haram sebaik sahaja dia melangkahkan kakinya ke masjid, begitu juga dia kena rasa saat dia masuk ke bulan Ramadhan. 

Ramadhan bulan yang mulia. Bulan yang sangat istimewa. Sebagaimana masjid menjadi mulia dengan rahmat Allah lalu menjadikan ia sebagai rumahNya, begitu juga bulan Ramadhan. Beribu keberkatan, rahmat, janji dan ganjaran Allah tawarkan padanya. Yang datang hanya sekali dalam setahun.

Teringin saya petik satu kisah yang berlaku pada zaman Nabi - sallallahu'alaihiwasallam -,

Ada dua orang sahabat baik pergi berperang dan salah seorang daripada mereka telah syahid semasa perang tersebut. Manakala sahabatnya yang seorang lagi wafat setahun setelah perang tersebut. Kemudian pada satu hari, sahabat Nabi SAW, Thalhah RA bermimpi perihal sahabat yang mati terkemudian itu lebih tinggi darjatnya berbanding sahabatnya yang syahid di medan perang.

Lalu dia menceritakan perihal mimpinya itu kepada sahabat sahabat yang lain. Mereka semua berasa pelik dan hairan. Mendengar kisah tersebut, Nabi SAW kemudian menerangkan,

Tidakkah si fulan yang mati terkemudian itu sempat dalam tempoh setahun selepas jihadnya itu dia masuk pada bulan ramadhan, dia sempat berpuasa dan bersolat sekian sekian selama setahun? 
Para sahabat akur menjawab, Bahkan! Lalu Baginda menyambung,

Oleh sebab ibadat ibadat itulah kedudukan mereka berbeza seperti langit dan bumi. (1)

Subhanallah. Bayangkan bagaimana ibadat dalam masa setahun membezakan darjat dan kedudukan seorang hamba Allah. Bahkan Nabi SAW menghighlightkan bulan ramadhan sebagai penanda aras yang utama dalam perbezaan darjat kedua sahabat tersebut. Tidakkah ini menunjukkan betapa mulianya bulan ini?

Usahalah. Rajinkanlah dan kuatkanlah diri. Supaya Ramadhan kali ini menjadi permulaan buat kita. Yang jahat menjadi baik. Yang baik menjadi lebih baik. Jangan siakan peluang yang Allah beri lagi untuk kali ini. Tahun depan belum tentu jumpa.

Semoga Ramadhan kali ini menjadi alat untuk menjinakkan nafsu kita yang liar membuas. Menjadi rotan membidas akhlak buruk kita. Menjadi wangian mengharumkan buku amal soleh kita sebagai bekal di akhirat kelak. Menjadi tali kepada permusuhan mana mana hubungan kita yang telah putus.

Semoga Allah berkati masa kita, kekuatan dan tenaga kita sepenuhnya memanfaatkan Ramadhan ke arah yang Dia redhai dan Dia kehendaki.

Tahniah buat kita semua dengan kedatangan bulan Ramadhan kali ini dan selamat berpesta ibadah!


SYA
2321
alMadinah alMunawwarah, KSA


_______________________________
(1) Hadith diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah no. 3925 dan disahihkan oleh Sheikh Al Bani.

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D