31 Mei 2018

Apa Keberkatan Bersahur?

| |

Alhamdulillah. Masuk separuh bulan sudah kita berpuasa. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Sedar sedar sudah dua minggu lebih kita bersama Ramadhan.

Hah, bagaimana puasa kalian? amal ibadatnya? mendirikan malam dan bacaan alqurannya? semoga masih lagi semangat dan istiqamah memburu amalan dan ganjaran sepertimana hari hari permulaan kita dahulu.



Harini mari kita sentuh sedikit berkenaan dengan ibadat sahur. Sahur seperti mana kalian sedia maklum mempunyai banyak kelebihan dan ianya dianjurkan oleh baginda nabi SAW. Ianya menjadi pembeza sahur kita orang muslim dengan sahur ahli kitab.

Seringkali kita antara kelebihan sahur yang selalu kita dengar dan di war warkan melalui satu hadith baginda SAW,

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِى السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksud Hadith :

Bersahurlah kalian, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.
(HR. Bukhari no. 1923 dan Muslim no. 1095) 

Jadi, apakah dan di manakah keberkatan bersahur seperti yang dinyatakan Baginda SAW?

Keberkatan dari sudut istilahnya bermaksud sesuatu yang mempunyai kebaikan yang tiada henti dan kebaikan itu melimpah ruah dan banyak. Sebagai contoh, rezeki yang berkat, seperti duit misalnya sekiranya ia diberkati, yang sedikit itulah boleh dimanfaatkan dan dapat memperoleh kebaikan darinya yang banyak. Itu maksud berkat.

Berikut adalah di antara keberkatan bersahur yang dapat disenarai pendekkan,

1. Sahur membezakan puasa kita ahli sunnah dan puasa ahli kitab.
2. Membantu membekalkan kekuatan sepanjang berpuasa.
3. Membantu untuk seorang muslim kejar peluang untuk sempat solat subuh berjemaah selepas sahur.
4. Orang yang bangun bersahur sempat dengan waktu waktu mustajab doa di dua pertiga malam.
5. Mencegah kesakitan atau keburukan yang datang dari sebab lapar seperti gastrik dan sebagainya.
6. Berpeluang menjadi sebahagian di kalangan orang yang meminta ampun di waktu bersahur.

Demikianlah beberapa kebaikan yang dapat disenaraikan. Hakikatnya mungkin banyak lagi keberkatan yang kita tak tahu atau mungkin tak tercapai akal manusia untuk memikirkannya kekal menjadi rahsia Tuhan yang memberi ganjaran dan mengetahui hikmah di sebalik setiap pengsyariatan.

Bersahurlah dan ambillah peluang untuk mengejar keberkatan keberkatan yang tersedia di waktu bersahur. Banyakkan berdoa, beristighfar meminta ampun di waktu sahur. Sesudah sahur, rebutlah peluang berjemaah bagi solat subuh yang jarang untuk direbut pada waktu selain ramadhan.

Lewatkanlah sahur, ianya sunnah.Tidaklah dinamakan bersahur kecuali sekiranya kita makan sahur pada waktu separuh akhir malam. Sekecil kecil sahur adalah dengan buah kurma. Semoga kita semua terus berjuang memperbaiki amalan kita di bulan mulia ini saban hari. InshaAllah!

SYA
0235
alMadinah alMunawwarah, KSA

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D