24 Mei 2018

Doa Ketika Berbuka Puasa

| |

Alhamdulillah!

Sudahpun masuk hari ke lapan kita berpuasa bagi tahun ini. Apa khabar puasa kita setelah lapan hari bersama Ramadhan? Apa khabar amal soleh kita? Amalan fardhu dan amalan sunat kita? Apa khabar nafsu kita setelah lapan hari melalui latihan menjinakkannya? Mudah mudahan ada peningkatan dalam setiap sudut dan dalam keadaan yang Allah redha.


Selama 8 hari kita berpuasa untuk tahun ini dan sepanjang kita masuk tahun ke berpuluh kali berpuasa, tahukah kita doa yang Nabi kita Muhammad SAW ajar untuk dibaca ketika berbuka puasa?

Masyhur dalam masyarakat kita doa berbuka puasa seperti berikut,

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْت

Maksud : Ya Allah, untukMu aku berpuasa dan di atas rezekiMu aku berbuka.

Doa ini diambil daripada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abi Daud dan dinilai sebagai hadith dhoif kerana terdapat masalah pada sanad hadith dan perawi hadith.

Namun begitu, tidaklah menjadi satu dosa atau kesalahan sekiranya kita mengamalkannya kerana doa merupakan satu subjek yang luas dalam agama kita. Agama kita tidak pernah menghadkan ibadah doa dengan lafaz lafaz tertentu sampai ke tahap wajib untuk setiap muslim mengamalkan doa yang sama. TIDAK! Bahkan, doa juga tidak menjadi masalah sekiranya dialih bahasa dalam bahasa selain arab. 

Kerana setiap manusia itu, keperluan dan hal di dalam hidup mereka berbeza beza bagi setiap orang oleh sebab itu Islam membuka seluas luasnya lapangan dalam bab berdoa asalkan doa tersebut tidak melanggar prinsip aqidah dan iman seorang Muslim.

Akan tetapi, dalam bab doa berbuka puasa ini, alang alang kita hendak beramal seiiring dengan apa yang baginda nabi SAW amalkan, tahukah kita selain doa dari hadith yang dhoif tadi ada satu doa berbuka puasa yang datang dari hadith yang lebih sohih dan kuat sanadnya?

Berikut adalah doanya,

ذَهَبَ الظَّمَأُ، وابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَاللهُ

Bacaan : zahabazzoma u wabtalatil 'uruqu wa tsabatal ajru InshaAllah

Maksud doa : 

Telah hilanglah dahaga, dan basahlah urat urat kerongkong. Mudah mudahan yang kekal ialah ganjaran (ganjaran puasa) sekiranya diizin Allah.(1)

Satu lagi perkara yang perlu kita ketahui, di dalam hadith yang menyebut doa ini, diceritakan bahawa doa ini dibaca KETIKA berbuka. Bukan di baca sebelum kita berbuka. Supaya kena doa kita ITU dengan situasi. Iyalahm macam mana kita berdoa yang dahaga dan kerongkong kita basah sedangkan kita belum lagi berbuka, bukan?

Untuk lebih jelas, gambaran bila masa untuk mengamalkan doa ini adalah seperti berikut,
Sebaik sahaja azan maghrib dilantunkan, kita capai juadah berbuka kita seperti buah kurma misalnya, ucap bismillah dan makan serta teguklah beberapa air. Kemudian barulah kita bacakan doa ini.

Semoga tulisan kali ini bermanfaat dan selamat beramal! Bolehlah sambil tunggu waktu berbuka kejap lagi tu mula hafal hafal doa ini dan amalkan. Boleh dapat pahala berdoa dan sekaligus pahala mengikut sunnah. Semoga Allah berkati hari hari yang berbaki di dalam bulan ramadhan kita kali ini!

SYA
0813
alMadinah alMunawwarah, KSA
____________________________________________
(1) Riwayat Abu Daud [2/306, no. 2357] dan selainnya; lihat Sahih al-Jami’: (4/209, no. 4678)

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D