8 Jun 2008

Sejarah Qiraat

| |
Perkembangan ilmu Qiraat dianggap telah bermula sejak permulaan Islam .Berbagai bentuk bacaan al-Quran telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w lagi. Khilaf bacaan ini dapat dilihat sebagaimana yang berlaku antara Umar ibn al-Khattab dengan Hisyam bin Hakim. Umar Ibn al-Khattab telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang khilaf yang berlaku itu untuk mendapat jawapan. Namun Rasulullah mengiktiraf kedua-dua bentuk bacaan tadi dengan bersabda :-

“ Sesungguhnya al-Quran ini diturunkan dengan tujuh huruf dan
bacalah kamu mengikut apa yang mudah darinya” (al-Bukhari &
Muslim).


Hadith ini menunjukkan bahawa terdapat khilaf bacaan ketika hayat Rasulullah s.a.w dan hadith lain menyebut dari Ibni Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah meminta supaya Jibrail a.s menambah huruf atau wajah bacaan hinggalah terhasil dengan jumlah tujuh huruf (al-Bukhari & Muslim).
Hadith ini juga memberi maksud bahawa khilaf bacaan al-Quran adalah untuk memberi keringanan kepada seluruh umat Islam supaya mereka semua mampu membaca al-Quran walau apa jenis bacaan dan lahjah (dialek) digunakan.
Selepas Rasulullah s.a.w wafat, ramai di kalangan sahabat keluar dari Madinah al-Munawwarah dan tinggal di bandar-bandar seperti Makkah, Damsyik. Basrah dan Kufah. Mereka mengajar al-Quran kepada penduduk setempat dengan apa yang mereka dengar mengikut lahjahnya. Pengajaran oleh sahabat ini tidak mendapat tentangan daripada kalangan sahabat-sahabat lain. Sehinggalah ketika golongan tabien semakin ramai mempelajari daripada sahabat r.a natijahnya berlaku khilaf bacaan yang ketara dan percanggahan dikalangan tabien sehingga mengingkari bacaan selain bacaan mereka. Justeru khallifah yang ketiga Othman Ibn Affan r.a telah mengambil satu tindakan yang amat baik untuk merawat keadaan yang berlaku. Tindakan beliau telah menulis mushaf yang disepakati seluruh Qurra al-Sahabat dan penulis wahyu, yang ketika itu bilangan mereka masih rama i (Abu Zurah 2001)
Ulama berselisih pandangan tentang bilangan mushaf yang ditulis oleh Othman r.a Sheikh Ali Mohd al-Dhabba’ berkata yang sahih bilangannya ialah enam mushaf iaitu dihantar ke Makkah, Syam, Kufah, Basrah, Madinah dan untuk dirinya satu mashaf. Mashaf-mashaf itu dihantar berserta guru yang mengajar sekali, iaitu Zaid Ibn Thabit untuk penduduk Madinah, Abdullah Ibn Said ditugas untuk mengajar penduduk Makkah, al-Mughirah Ibn Abi Shahib diutus penduduk Syam, Abi Abdul Rahman al-Sulami untuk penduduk Kufah, Amir Ibn Qais untuk penduduk Basrah (Ali Mohd Dabba’).
Seratus tahun pertama hijrah, umat Islam membaca al-Quran berdasarkan apa yang diajar oleh para sahabat dan tabien. Pembaca-pembaca al-Quran yang thiqah menjadi tempat rujukan umat Islam untuk mendalami kaedah membaca al-Quran dan bilangan mereka sangat ramai di kota-kota Islam. Bacaan Qiraat mereka berbeza-beza tetapi sanadnya mutawatir dan menepati mushaf Othmani. Di waktu yang sama terdapat juga beberapa bacaan yang tidak merujuk kepada Imam-imam bacaan yang thigah. Mereka hanya membaca mengikut rasm al-Quran, dengan ini ahli al-Bid’ah telah membaca al-Quran secara tidak tepat dan hanya berdasarkan kepada nafsu mereka. Apabila khilaf yang dilakukan oleh golongan ini semakin banyak, umat Islam telah bersepakat untuk mengambil perhatian terhadap al-Quran demi menjaga ketulinan. Mereka hanya memilih imam qiraat daripada setiap kota yang dihantar mushaf oleh Othman r.a. Ciri-ciri keistimewaan imam Qiraat ialah seperti imam yang masyhur, thiqah, amanah dalam penaqalan dan mempunyai ilmu yang mantap. Selain itu, imam-imam Qiraat juga telah berkorban dengan menghabiskan usia mereka dalam pengajaran al-Quran dikalangan mereka. Penduduk setempat juga mengakui kethiqahan mereka dan bacaan mereka tidak terkeluar dari penulisan mushaf. (Abi Zar’ah 2001).
Perbezaan Qiraat dikalangan qurra’ telah diawasi dengan tiga rukun,
ini bagi memastikan kesahihan qiraat tersebut. Tiga rukun tersebut ialah :-
• Sanad qiraat hendaklah sahih datang dari Rasulullah s.a.w
• Menepati lughah (bahasa) arab yang fasih
• Menepati Rasm Mushaf Othman atau salah satu darinya.

Jika salah satu rukun dari rukun-rukun tersebut tidak terdapat dalam satu-satu
bacaan, maka bacaan akan ditolak (Mohammad Nubhan 1990)

0 Komen:

Catat Ulasan

Nak komen?Ada kemusykilan? Nak beri pandangan? Silakan. Will hit you back!
:D